Musibah yang menimpa al-Marhumah Nurin Jazlin yang masih kanak-kanak bukanlah satu balasan
terhadap dosanya, malah ia belum sempat untuk berdosa. Menurut para ulama Islam, musibah yang
menimpa kanak-kanak seperti kematian sebegini adalah merupakan satu rahmat untuknya, adapun
cara kejam pembunuhan itu adalah manifestasi kegagalan acuan dan hasil tangan manusia yang
berlagak pandai untuk menguruskan kehidupan, mereka degil dari arahan dan larangan Allah
S.W.T lalu kelahiran manusia buas sedemikian adalah hasilnya, menandakan seriusnya tahap
kejahilan dan kehancuran jiwa manusia disekeliling.
Saya kira, semua insan normal akan merasa pedih apabila melihat gambar keadaan jenazah Nurin,
apatah lagi sesiapa yang melihatnya secara berdepan. Saya sendiri terganggu pemikiran sejak
kelmarin apabila isu ini tersebar di berita. Terfikir betapa kesakitan yang dialami olehnyamenyebabkan perhatian saya terganggu ketika memberikan ceramah. Ini kerana menurut media,
ketika mayat Nurin Jazlin ditemui, ia baru 6 jam menemui kematian.
Bermakna, sejak kehilangannya selama 27 hari ia menanggung kesakitan dan hanya meninggal dunia
pada hari mayatnya ditemui. Saya juga difahamkan oleh beberapa sumber yang boleh dipercayai,
hasil bedah siasat mendapati perut Nurin Jazlin kosong dari sebarang makanan, seolah-olah ia
tidak diberi makan selama sebulan kehilangannya dan hanya didera seksual sahaja. Inilah antara
info yang amat menyukarkan minda saya untuk menerimanya.
Ceramah saya di Universiti Malaya dua hari lepas (20 September 2007) adalah yang paling terkesan,
minda saya gagal memfokuskan kepada isi kuliah yang ingin disampaikan. Mungkin para pendengar
yang hadir dapat melihat situasi tersebut.
Benar, ia juga merupakan satu ujian Allah s.w.t ke atas kedua ibu bapanya. Sesiapa sahaja yang
mampu bersabar serta redha, bagi mereka Syurga dan barangsiapa yang menuding jari menyalahkan
Allah S.W.T dan Taqdir, ternyata mereka itu adalah dari kalangan ahli-ahli neraka.
Rasulullah S.A.W bersabda :-
Sesungguhnya besarnya balasan baik adalah dengan besarnya ujian dan bala, dan Allah S.W.T
apabila kasihkan satu kaum lalu akan didatangkan baginya ujian, sesiapa yang mampu redha maka
ia beroleh redha Allah dan barangsiapa yang engkar , maka akan beroleh azab Allah."
( Riwayat At-Tirmizi, 4/601 ; Tuhfatul Ahwazi, 7/65 ; Albani : Hasan Sohih)
Menurut Syeikh Soleh Al-Munajjid, antara hikmah dari kematian seorang kanak-kanak, antaranya
sebagai penyelamat diri kanak-kanak terbabit diakhirat kelak, hanya Allah yang mengetahui
hikmah sebenar.
Beliau juga berkata, tidak dinafikan semua kanak-kanak ada kemungkinan jika ia sempat dewasa
ia boleh menjadi musuh Islam yang terbesar, jatuh murtad, melakukan dosa yang amat dahsyat
dan lain-lain. Yang mana sebahagian tindakan dosa tersebut boleh menyebabkan anak itu kekal
di dalam Neraka.
Justeru, dengan kematiannya di waktu kecil, ini bermakna Allah s.w.t dengan rahmatnya telah pasti
terselamat dari sebarang dosa besar dan kemurtadan yang mungkin berlaku. Perihal sebegini ada
disebut dalam surah al-Kahfi, iaitu sebagaimana kisah Nabi Khidir a.s yang sengaja membunuh
seorang anak kecil yang telah diketahui melalui Allah s.w.t akan menjadi penjahat besar kepada
ibu bapanya jika ia dewasa.
Ciri Mukmin Yang Sentiasa Tabah
Sama-sama kita pasrah kepada Allah dan mengingati ciri seorang mukmin tulen sebagaimana
kata Rasulullah S.A.W:-
Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu semua urusan yang menimpanya adalah baik, dan
tidaklah seorang mukmin itu kecuali apabila di timpa kebaikan, ia bersyukur lalu menjadi
kebaikan baginya; dan bila ditimpa musibha keburukan ia bersabar dan menjadi kebaikan
baginya apabila ia ditimpa" ( Riwayat Muslim)
Syafaat Anak Kecil & Aqiqah
Saya hanya mampu mendoakan al-marhumah Nurin Jazlin mendapat kenikmatan terbaik di alam
barzakh ketika ini dan akhirat kelak. Moga ibu bapanya yang mampu redha dan sabar juga layak
mendapat 'title' orang beriman dan redha Allah s.w.t. Ia sememangnya tidak mudah, tetapi
redha adalah suatu kewajiban dan bukan pilihan.
Jika sekiranya ibu bapa Nurin Jazlin belum melakukan aqiqah untuknya, eloklah dibuat
aqiqah tersebut.
Menurut Imam Ahmad r.h, sekiranya anak kecil meninggal dunia dalam keadaan belum diaqiqahkan,
anak tersebut tidak akan membantu (memberi syafaat) kedua ibu bapanya di akhirat. Justeru,
syafaat dari anak kecil yang meninggal untuk si ibu bapa adalah bergantung kepada aqiqahnya.
( Mirqat Al-Mafatih, 8/78). Wallahu 'alam.
Ia berdasarkan kefahaman Imam Ahmad dari hadis :-
Anak tergantung kepada aqiqahnya, dilakukan sembelihan aqiqah pada hari ketujuh dan diberi
nama serta dicukur kepalanya"
( Riwayat At-tirmizi dan Ahmad )
Justeru bagi semua ibu bapa samada Nurin Jazlin atau lain-lainnya, jika terdapat anak yang
meninggal dunia dalam keadaan Islam, berusahalah menjadi ibu bapa yang beriman secara
tulen. Allah s.w.t pasti akan menghubungkan anak dan ibu bapanya semula di akhirat. Janganlah
terlalu bersedih dengan pemergiannya.
Firman Allah s.w.t :-
"Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan,
Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari
pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya."
( At-Tur : 21 )
InshaAllah, anak-anak kecil yang meninggal ini akan berada di syurga Allah s.w.t. Disebut
dalam kitab Ad-Durr Al-Manthur sesungguhnya orang yang beriman dan anak-anaknya akan
berada di dalam syurga bersama-sama.
(Ad-Durr Al-Manthur, 7/633 ; Tafsir At-Tabari, 27/25)
Bagaimanapun, jika seseorang ingin bersama anaknya tersebut, perlulah ia melakukan amal
soleh dan menjadi orang yang beriman dengan benar-benar iman.
Deretan Kes Perit Hampir Serupa Tanda Apa?
Apapun, segala macam bentuk perhatian kini perlu ditingkatkan, apa guna ibu bapa yang asyik
dengan mencari duit dan wang sehingga tiada masa untuk melihat keselamatan anak. Begitu
ramai ibu bapa yang tersangat sibuk dan sentiasa bertawakkal palsu tentang hal keselamatan
anak-anak mereka.
Perlu diambil perhatian oleh kita semua bahawa keselamatan kanak-kanak perempuan semakin
membimbangkan ibu bapa hari ini. Cuba lihat deratan kes dibawah :-
Kisah pilu Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun bukanlah isu baru, malah negara telah merakamkan
tujuh tragedi sedih yang telah melibatkan kanak-kanak Malaysia yang tidak berdosa yang
dirogol dan dibunuh kejam.
Pada Disember 2004, seorang kanak-kanak malang ditemui orang ramai dalam keadaan
menyayat hati dan sedang menangis di tepi sebuah tangki air disebuah semak di Kampung
Chendering, Kuantan. Mangsa dipercayai menjadi korban nafsu seorang lelaki yang dipercayai
berusia dalam lingkungan 40-an dalam semak di kampung itu kira-kira pukul 8.30 malam.
Sehari sebelum itu, mayat Siti Syazwani, 9 pula ditemui mati 100 meter dari rumahnya- dirogol
dan dibunuh oleh seorang pekerja asing Indonesia. Mayatnya ditemui mati dalam parit di ladang
kelapa sawit Tikam Batu, Sungai Petani dengan hanya berbaju kurung, tersembam ke dalam
parit sedalam 2 meter.
Kisah seterusnya begitu menggemparkan negara, sehingga rata-rata masyarakat mecadangkan
pelakunya dibunuh atau dikasi kemaluannya lantaran tindakan mereka terhadap Nurul Huda
Abd Ghani, Murid Tahun 4 yang dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelakidi Pondok
Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg. Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004.
Selain itu bulan yang sama, Haserawati Saridi, 10- dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan
ke sekolah di Kampung Menggatal, Sabah.
Pada 6 November 2002 pula Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, 2- diculik, dirogol dan dibunuh,
dijumpai dalam keadaan bogel pada jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari
rumahnya di Kampung Seberang Terus.
Ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan dan pendarahan
dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.
Dua remaja berusia 19 tahun pula telah merogol kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun
sehingga terkeluar usus ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Maluri,
Kepong 13 Ogos 2001.
Dan akhir pada 23 Oktober 2000, Nur Shuhada, 6 ditemui mati dalam tangki air di bumbung
bangunan kediaman 3 tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan
lebam pada muka dan tangan.
Doa Pilihan Pelindung Keluarga
Ajarilah anak-anak kita, diri dan keluarga kita dengan doa yang sohih dari Rasulullah S.A.W
ini iaitu :-
"Sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah
yang sempurna dari segala kejahatan makhluk" maka ia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa
pun sehinggalah ia kembali ke rumahnya semula."
(Riwayat Muslim, 4/2080 - teks doaya adalah yang berwarna merah)
Disebut dalam satu riwayat lain, nabi bersabda :-
Ertinya : nabi bertanya : kena apakah kamu ?
Lelaki berkata : aku disengat kala
Nabi berkata : sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah
Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak
akan ditimpa mudarat"
( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )
Juga sebuah lagi doa yang mudah dari hadis sohih:-
Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang
tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada dibumi dan di langit, dan Dialah
Maha mendengar dan Maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala
dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia
tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya"
( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa
berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)
Siapa Cuai ?
Takziah kepada keluarga Nurin Jazlin dan semua keluarga yang menghadapi cabaran yang
sama. Saya juga TIDAK BERSETUJU atas kenyataan pihak berwajib yang ingin mendakwa
kedua ibu bapa Nurin Jazlin atas alasan mereka cuai dan lalai. Mana ada manusia yang tidak
sekali sekala terlalai dan terleka. Biarlah pedih mereka sembuh sebelum membuat kenyataan
pelik seumpama ini.
Saya mengharapkan pihak polis dapat dengan CEKAP menjejaki si pembunuh, sebarang
kegagalan akan menyebabkan semakin pudarnya keyakinan terhadap teknologi dan badan
pengawas keamanan ini.
LIHAT KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB R.A YANG SELALU BIMBANG SEMASA
MENJADI KHALIFAH, SEKIRANYA ADA SEEKOR KAMBING MATI DI DALAM
NEGARANYA, IA BIMBANG AKAN DITANYA DI AKHIRAT KELAK ATAS
KECUAIANNYA SEBAGAI KHALIFAH.
Beliau diriwayatkan berkata : "Seandainnya ada keledai yang jatuh dari atas gunung
di kawasan Irak sehingga patah kakinya, pasti Allah SWT meminta pertangungjawaban saya
(Umar) karena tidak membuat jalan untuk dilintasi keledai tersebut"; dan "Kalau kambing
tersasar dan hilang di pingiran sungai Eufrat, maka Umar akan bertanggung jawab pada
hari akhirat".
Begitu juga Ali bin Abi Talib ra ketika melihat Umar bin Khattab ra sedang berlari lalu
bertanya: "Kenapa kamu lari wahai Umar? Aku (Umar) berlari karena ingin mengejar unta
sedekah yang telah lepas dari tambatannya.
INI KERANA TANGGUNGJAWABNYA SEBAGAI PEMIMPIN ADALAH MENYEDIAKAN
NEGARA YANG AMAN DAN BAIK KEPADA MANUSIA DAN JUGA BINATANG SERTA
MEMASTIKAN TIADA MANUSIA "BERHATI BINATANG".
Bagi seluruh keluarga Nurin, ketahuilah doa mereka yang sedang dizalimi adalah maqbul,
ditambah lagi di bulan Ramadhan penuh berkat ini, doalah dengan bersungguh-sungguh agar
mereka tertangkap. Amin! 13x ...
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman.
....................readmore