Archives

Hero2004 Blog

Khutbah Jumaat : MEMAKMURKAN NEGARA SATU TANGGUNGJAWAB

الْحَمْدُ للهِ الْقَائِل فِى كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ. " هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِّنَ الأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيْهَا فَاسْتَغْفِرُوْهُ ثُمَّ تُوْبُوْا إِلَيْهِ، إِنَّ رَبِّيْ قَرِيْبٌ مُّجِيْبٌ ".
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِيْنَ وَتَابِعِى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسنٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

اَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسلمون، إِتَّقُوْا الله، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ اْلمُتَّقُوْن..

Sidang Jumaat Tetamu Allah Yang Dihormati Sekelian

Marilah kita sama-sama meningkatkan usaha bertaqwa kepada Allah s.w.t. dengan cara melaksanakan amal ibadah, dan kita menghindari segala perbuatan keji, maksiat serta mengamalkan nilai-nilai murni baik percakapan, perbuatan dan tingkahlaku . Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sidang Jumaat Yang Dihormati

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t. Di atas segala nikmat dan rahmat yang dianugerahkan kepada kita, khususnya Pembangunan Negara, kemakmuran dan kestabilan yang berpanjangan yang telah dinikmati dari dulu hingga kini. Justeru kita boleh merancang pembangunan dan keperluan kita dengan sempurna mengikut acuan sendiri sehingga rakyat dapat menikmati kemajuan ini.

Maka dengan itu, kita selaku rakyat dan umat Islam hendaklah sentiasa peka dan mengambil berat soal kesejahteraan hidup . Janganlah kita hanya semata-mata menjadi penerima dengan menyerahkan tanggungjawab membangun negara kepada pihak pemerintah sahaja. Sebaliknya kita hendaklah turut bertanggungjawab menyelesaikan masalah agar menjadi bertambah baik dengan memberi penambahbaikan terhadap apa-apa yang sedia ada.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekelian

Panduan Al-Quran dan al-hadis serta syariat Islam banyak memandu kita dalam mengurus hal dunia yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada manusia untuk memakmurkan dan membangunkan muka bumi ini secara yang komprehensif atau menyeluruh. Usaha pemakmuran itu merangkumi tanggungjawab membangunkan masyarakat manusia yang sejahtera serta memperkuatkan tamadun manusia. Diantara panduan-panduan Al-Quran yang menyebutkan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada manusia, sepertimana Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 61:

Maksudnya : " Dialah ( Allah ) yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid . Sesungguhnya tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya ".

Dan Allah mentaklifkan atau mewajibkan kamu supaya memakmurkan muka bumi sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30:

Maksudnya : " Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat sesungguhnya aku hendak menjadikan seseorang khalifah di bumi ".

Ayat tersebut, menjelaskan manusia sebagai pentadbir bertanggungjawab, mengurus dan memakmurkan bumi Allah untuk kesejahteraan manusia sejagat meliputi aspek material, ilmu, ekonomi dan sosial. Oleh itu, sebagai umat pilihan di dunia ini kita perlu bijak mengimbangi antara dua keperluan hidup, iaitu selesa di dunia dan sejahtera di akhirat.

Justeru itu, kita berperanan merancang dan melakukan sesuatu yang terbaik untuk faedah diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Kita juga, perlu membuat apa-apa perubahan terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri kita. Sepertimana yang disarankan oleh Allah s.w.t. dalam surah Ar-Ra’du ayat 11:

Maksudnya : " Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ".

dan Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Qasas ayat 77:

Maksudnya : " Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu ) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu. ( dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah ) ".

Berdasarkan ayat yang dibaca tadi, kita hendaklah sedar bahawa kehidupan di dunia ini, adalah untuk memperolehi keredaan Allah s.w.t.. Dan kita digalakkan supaya menceburi apa saja bidang yang boleh membangun dan memberi kebaikan kepada diri manusia seperti menceburi bidang pendidikan saintifik, pengembangan industri asas tani, penyelidikan perubatan dan sebagainya. Sebagaimana yang telah dirintis dan dipelopori oleh sarjana dan pemimpin negara Islam suatu ketika dahulu. Namun demikian kita sama sekali tidak boleh mengabaikan ciri-ciri sebagai muslim yang teguh iman, sempurna amal ibadah dan berakhlak mulia serta menjauhi sifat-sifat negatif.

Dengan itu cuba kita perhatikan Firman Allah Taala dalam surah Al-Mulk ayat 15 :

Maksudnya : " Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah dimerata-rata ceruk rantau serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jualah ( tempat kembali kamu sesudah ) dibangkitkan semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya) ".

Sidang Jumaat Yang Dihormati

Bagi merealisasikan hasrat tersebut kita perlu mengambil kesempatan ini dengan bekerja berseungguh-sungguh dedikasi, jujur, dan amanah serta berusaha menambah ilmu pengetahuan bagi menjamin kejayaan.

Al-Quran menjelaskan bahawa, ilmu sebagai faktor yang penting membezakan seseorang individu . Hal ini jelas kerana dengan memiliki dan menguasai dalam pelbagai bidang ilmu mampu mengangkat darjat ummah, bangsa dan negara menjadi lebih baik, mulia, dihormati dan disegani, sebaliknya jika umat Islam mundur dan tidak menguasainya sudah tentu seluruh umat Islam akan berdosa. Kerana menuntut ilmu difardhukan kepada semua orang Islam. Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu ( untuk orang lain ) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan untuk kamu . Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama ( dari kalangan kamu ) beberapa darjat dan ingatlah Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu kerjakan ".

Walau agaimanapun pada hari ini kita dapati sebilangan umat Islam kurang menghayati ajaran Islam bahkan ada yang mengabai nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan. malahan nilai-nilai murni ini telah diamalkan oleh bangsa lain yang menyedari ianya penting untuk kesempurnaan dan kemajuan hidup. Fenomena ini kesuatu ketika dahulu pernah disebut oleh seorang ulama terkenal Sheikh Muhammad Abduh dengan katanya : " Sesunggunhya telah pergi ke negeri barat dan aku lihat Islam padanya dan aku telah pergi ke dunia Islam dan aku lihat barat padanya ". Kata-kata ini menunjukkan betapa terhakisnya nilai amalan dan ajaran Islam di kalangan umat Islam.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekelian

Umat yang berkualiti adalah umat yang mempunyai siasah yang mantap, menepati janji, patuh, menepati waktu, berdisiplin dan sentiasa membantu serta bekerja dengan tekun dalam pekerjaan yang diceburi. Nilai ini menjadi pemangkin atau penggerak untuk mencapai wawasan negara . Hanya umat yang berkualiti dan berkemahiran serta mempunyai pegangan agama yang kukuh sahaja boleh merealisasikan wawasan negara. Walau bagaimanapun bagi umat yang berkemahiran tetapi rapuh nilai-nilai kerohanian tidak akan mampu membina kemajuan sebenar.

Marilah kita sama-sama menjadi umat yang berkualiti dan berguna kepada negara. Diantaranya kita hendaklah :

1 . Berjuang membebaskan diri dari belenggu kemiskinan, kejahatan dan kejahilan.
2 . Berusaha untuk kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan.
3 . Sentiasa membina peradaban dan kemajuan.
4 . Sentiasa meningkat dan mengekalkan kesejahteraan rohani dan jasmani.
5 . Sentiasa mengirat dan mengekalkan hubungan silatulrahim di kalangan umat Islam.
6 . Sentiasa mengukuh ekonomi diri dan keluarga melalui kaedah perbelanjaan berhemah, tidak membazir dengan merancang perbelanjaan.

بسم الله الرحمن الرحيم،

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
....................readmore

Hero2004 Blog

Sikap, tingkah laku lambang kewibawaan pemimpin

Sikap, tingkah laku lambang kewibawaan pemimpin
Oleh: SAODAH ABD.AHMAN

MANUSIA sering melihat pemimpin sebagai orang yang bertanggungjawab dan mempunyai keperibadian mulia. Jika pemimpin tidak prihatin dalam soal tingkah lakunya maka kewibawaan diri dan kehebatannya akan terjejas. Rakyat mempunyai hak untuk mempersoalkan sikap dan tingkah laku buruk para pemimpin mereka.

Kedudukan dan kekuasaan seorang pemimpin bergantung kepada suara dan sokongan rakyat. Pemimpin yang tidak peka terhadap tingkah laku dan keperibadian diri tidak layak untuk memimpin negara kerana mereka tidak boleh menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Pemimpin dianggap sebagai ketua yang terlalu sibuk menguruskan soal keperluan asas rakyat. Rumah dan pejabat mereka merupakan tempat untuk rakyat mengadu dan meminta pertolongan.

Jika seorang pemimpin masih lagi leka dengan kegiatan yang berunsurkan tuntutan hawa nafsu sama ada dalam bentuk mengumpul harta sebanyak mungkin ketika diberi kuasa, atau berpoya-poya dengan wanita cantik dan menarik, maka kehebatan dan kewibawaannya terjejas akibat terlalu ghairah melayani kehendak hawa nafsunya.

Pemimpin ialah orang yang mempunyai jiwa yang kental, perwatakan yang boleh meyakinkan masyarakat bahwa beliau adalah seorang yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai, serta cintakan masyarakat.

Pemimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri begini tidak layak dilantik menjadi pemimpin kerana kelemahan menahan hawa nafsu boleh menyebabkan mereka terpesong daripada melaksanakan tugas secara serius dan berhemah.

Pucuk pimpinan negara perlu menunjukkan sikap yang tegas apabila berhadapan dengan pemimpin yang terlalu ghairah dengan kegiatan yang berunsurkan kegilaan pangkat dan hawa nafsu.

Sikap terlalu gemar menutup keburukan perangai dan tingkah laku para pemimpin kerana hendak menjaga imej parti politik boleh menyebabkan pemimpin-pemimpin tersebut berterusan melakukan perbuatan yang bersalahan dengan etika kepimpinan.
Malah ia juga boleh membangkitkan kemarahan dan kebosanan rakyat terhadap pucuk kepimpinan beliau.

Kebanyakan masyarakat Malaysia masa kini adalah terdiri daripada orang yang berpelajaran dan mampu berfikir dan memahami tingkah laku dan sikap para pemimpin mereka.
Mereka berani menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap pemimpin yang mempunyai tingkahlaku yang buruk dan tidak bertanggungjawab. Setiap pemimpin perlu memahami bahwa kedudukan dan kekuasaan mereka adalah ditentukan oleh rakyat kerana negara ini mengamalkan dasar demokrasi.

Rakyat mempunyai hak untuk menyebarkan perangai dan tingkah laku buruk para pemimpin. Hak begini amat penting bagi rakyat kerana mereka merupakan individu yang menentukan pemimpin negara.

Jika rakyat tersilap memilih pemimpin maka mereka akan menghadapi kepincangan dan kehancuran akibat kurang prihatin terhadap sikap dan perangai wakil rakyat dan pemimpin mereka.

Negara yang mengamalkan dasar demokrasi yang sihat akan berkembang dan maju secara pantas kerana setiap pemimpin sibuk menumpukan perhatian kepada perkhidmatan masyarakat dan negara. Masa dan tenaga mereka dikorbankan untuk membangun kawasan yang mundur dan menyediakan kemudahan asas kepada rakyat.

Apabila masa digunakan sepenuhnya untuk perkhidmatan masyarakat dan negara maka para pemimpin tidak mempunyai masa untuk berpoya-poya dan mengaut keuntungan diri sebanyak mungkin ketika diberi kuasa.

Kecuaian terhadap penelitian calon wakil rakyat dan pemimpin dalam aspek akhlak dan tingkah laku adalah di antara faktor yang menyebabkan dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan secara sempurna walaupun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang banyak untuk masyarakat.
Apabila rakyat menyuarakan sikap dan tingkah laku buruk dan kecuaian wakil rakyat dan pemimpin ketika diberi kuasa maka pucuk pimpinan negara perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

Dalam konteks kepimpinan negara, ketegasan dan kewibawaan pucuk pimpinan negara merupakan penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah negara.
Jika pucuk pimpinan merupakan orang yang tegas dan serius mengendalikan urusan disiplin dan etika para pemimpin di bawah bidang kuasanya, maka setiap wakil rakyat dan pemimpin tidak berani melakukan sesuatu yang berlawanan dengan etika kepimpinan kerana ia boleh menyebabkan mereka tersungkur dan bankrap.

Rakyat Malaysia hari tidak akan memilih pemimpin berdasarkan parti politik. Mereka lebih prihatin kepada individu yang dilantik menjadi wakil rakyat.
Jika seorang wakil rakyat menunjukkan sikap yang buruk dan sombong ketika diberi kepercayaan memimpin masyarakat maka kedudukannya sebagai wakil rakyat mungkin tidak berkekalan walaupun keseluruhan jentera parti digunakan untuk memperkukuhkan kedudukannya.

Pemimpin diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada rakyat. Jika wakil rakyat atau pemimpin terlalu gemar berpoya-poya dan melayani hawa nafsunya ketika berkuasa maka di manakah ciri-ciri kepimpinan yang boleh dihormati oleh masyarakat? Corak pemikiran dan sikap mereka adalah sama dengan remaja liar yang berkeliaran pada waktu malam.
Oleh itu tidak mungkin pemimpin tersebut boleh membimbing masyarakat menjadi satu masyarakat yang berjaya dan berakhlak mulia kerana pemimpin juga bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.

- DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan
Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
....................readmore

Hero2004 Blog

Senyum Kambing 4 Januari 2008

....................readmore

Recent Posts

Prayer Time

Barclays Premier League

F1 Championship

About Me

My photo
Blog ini merangkumi tajuk-tajuk semasa kursusnya yang dibincangkan didalam Hero2004. Disamping isu-isu semasa didalam mahupun diluar negara. Jika ada terdapat sebarang rujukan daripada mana sumber, itu hanyalah untuk kemudahan ahli Hero2004 dan bukan berniat untuk menciplak dari mana-mana pihak.